Ibu saksi anak maut ditimpa kereta depan mata

SEORANG ibu hanya mampu memerhatikan anaknya dihempap kereta dipandunya yang terbalik setelah hilang kawalan ketika melalui Kilometer 1, Jalan Bagan Tiang-Tanjung Piandang, di sini.

Lebih memilukan, mangsa, Muhammad Ilham Zaki Saaidi, 8, yang juga  murid tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Megat Aris, Bagan Tiang maut di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan apabila bahagian kepala mangsa hancur.

Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku pada jam 6.50 pagi apabila mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga bersama ibu dan abang sulung mangsa untuk dihantar ke sekolah.


Menurutnya, ibu mangsa difahamkan mahu menghantar abang mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope, Tanjung Piandang terlebih dahulu dari rumah mereka di Kampung Sungai Labu, Bagan Tiang sebelum berpatah balik untuk menghantar mangsa ke sekolah.

“Dalam perjalanan ke sekolah mangsa, kenderaan dinaiki mangsa dan ibunya difahamkan hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik ke bahagian sisi belah penumpang setelah tayar kereta dinaiki mereka dipercayai terlanggar dawai penyokong tiang elektrik di bahu jalan.

“Sewaktu kereta itu terbalik, cermin bahagian penumpang hadapan difahamkan pecah dan menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum maut serta-merta ditimpa bahagian sisi kereta itu, bagaimanapun ibu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Sharifah Yusof, 39, tidak dapat menyembunyikan kekesalan setelah kehilangan anak keduanya itu.

Menurutnya, sewaktu kejadian berlaku, dia hanya mampu menjerit memanggil nama anak keduanya itu setelah kereta dinaiki mereka terbalik akibat terlanggar dawai penyokong tiang elektrik di bahu jalan.

“Kemudian, saya dengar bunyi cermin kereta bahagian penumpang pecah dan setelah kereta berhenti terbalik, saya terkejut mendapati arwah sudah tidak lagi bernyawa.

“Saya benar-benar kesal melihat keadaan arwah yang mengerikan dan tidak sangka kejadian malang sebegini berlaku terhadap diri saya,” katanya dengan nada sugul.

Dalam pada itu, abang mangsa, Johan Arif Muhammad,13, berkata, dia tidak menyangka kehilangan adik keduanya setelah mereka bersama-sama menaiki kereta untuk ke sekolahnya sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu sebelum ini, perwatakan mangsa berubah menjadi lebih pendiam, malah arwah adiknya juga lebih gemar bersendirian di rumah.

“Sebelum ini, hubungan kami amat rapat, malah kami sering bermain bersama adik kecil berusia dua tahun.

“Tetapi, sikap adik (arwah) berubah sejak kebelakangan ini, malah dia turut pergi memancing di parit hadapan rumah berseorangan pada lewat petang semalam (kelmarin).

“Saya benar-benar terasa kehilangan arwah kerana dia merupakan seorang adik yang baik,” katanya.

Saksi kejadian, Kamarudin Sulaiman,45, berkata, dia berada di pekarangan rumah sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya.

“Saya terkejut apabila mendapati sebuah kereta terbalik akibat kemalangan. Saya segera meneliti keadaan mangsa dan terkejut mendapati seorang kanak-kanak maut dalam keadaan mengerikan setelah dihempap bahagian sisi kenderaan berkenaan.

“Berikutan itu, kami segera membalikkan kenderaan dan mengeluarkan ibu mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya. - Sinar Harian

0 Response to "Ibu saksi anak maut ditimpa kereta depan mata"

Post a Comment